Kamis, 06 November 2014

Sekolah pendaki wanita di Pakistan

Ternyata ada sekolah untuk pendaki wanita nih....



SALAH seorang pelajar menggunakan peralatan yang sesuai untuk memulakan pendakian.


SEKUMPULAN wanita Pakistan duduk bersimpuh di atas karpet sambil tekun mendengar tentang asas-asas pendakian gunung-gunung tertinggi dunia yang disampaikan oleh tenaga pengajar.
Terletak di kawasan pedalaman Pakistan bersempadan dengan China, Sekolah Pendakian Gunung Shimshal mempunyai pemandangan indah dikelilingi gunung-ganang.
Sebahagian wanita memecahkan tabu dengan melakukan pekerjaan yang biasanya dikuasai oleh golongan lelaki seperti tukang kayu dan pembantu pendaki di puncak Himalaya.
“Pastikan anda sentiasa memeriksa peralatan mendaki kerana kesilapan kecil boleh membawa maut,” nasihat Niamat Karim kepada pelajar-pelajarnya. Dia memberikan amanat terakhir kepada lapan orang pelajar yang bakal melakukan demonstrasi pendakian.
Mereka merupakan kumpulan pelajar wanita pertama di sekolah yang ditubuhkan pada tahun 2009 dengan sokongan daripada pendaki Itali, Simone Moro itu.
Mereka belajar selama empat tahun bagi mengikut modul pembelajaran seperti teknik mendaki, kemahiran menyelamat dan pengurusan pelancongan.
Berada di ketinggian 3,100 meter dari paras laut, Shimshal merupakan penempatan tertinggi di Lembah Hunza yang hanya boleh diakses dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Untuk sampai di kampung yang dihuni 250 orang penduduk itu, orang ramai perlu melalui jalan yang sempit, tidak berturap, lereng-lereng gunung dan merentasi jambatan kayu yang berbahaya.
Sistem solar
Sumber elektrik dan air hanya diperoleh melalui sistem solar yang dibeli dari China. Di sebalik kemiskinan itu, kadar literasi penduduk adalah 98 peratus iaitu dua kali ganda lebih baik berbanding peringkat kebangsaan.
Penduduk tempatan bergantung kepada industri pelancongan dengan purata satu rumah mempunyai seorang pendaki. Kawasan itu juga melahirkan ramai pendaki terkenal dunia termasuk Samina Baig yang merupakan wanita Pakistan pertama menakluki Everest.
Bagi salah seorang peserta, Takht Bika, 23, bersekolah di institusi itu merupakan impiannya selama ini.
“Bapa saudara dan abang saya merupakan seorang pendaki. Saya sering bermain dengan peralatan mendaki setiap kali mereka pulang dari musim pendakian. Peralatan mendaki menjadi permainan saya dan bukannya anak patung,” ujarnya.
Dalam tradisi keluarga Duor Begum, mengikuti kelas pendakian merupakan satu penghormatan selain bagi menghormati kematian suaminya di Lembah Hunza.

PENDUDUK tempatan bergantung kepada industri pelancongan dengan purata satu rumah mempunyai seorang pendaki.


Legasi
Dia menyambung legasi suaminya dan menjadikan aktiviti itu sebagai punca rezeki bagi menampung keluarga.
“Saya mempunyai dua orang anak dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Saya mengambil risiko untuk masa depan anak-anak dan memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka,” kongsinya.
Walaupun wanita tersebut cuba mengubah persepsi masyarakat, Begum berpendapat, dia masih berdepan kesukaran untuk menjadi seorang pendaki profesional.
“Saya tahu ia sukar tetapi anak-anak menjadi pembakar semangat untuk berjaya,” tegas Begum.
Berada jauh daripada penempatan di lembah itu, cerita sama melingkari hidup Bibi Gulshan yang juga berusaha mengubah pemikiran masyarakat terhadap kerja-kerja kasar yang dilakukan oleh ibu kepada dua orang anak itu.
Dia dilatih menjadi tukang kayu di bawah Women Social Enterprise (WSE) iaitu projek oleh Aga Khan Development Network yang memberikan peluang pekerjaan kepada keluarga miskin dan pada masa yang sama meningkatkan daya usaha kaum wanita.
Ditubuhkan pada tahun 2003, WSE disertai oleh lebih 110 wanita lingkungan umur 19 hingga 35 tahun.
“Saya mahu memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak supaya mereka tidak berasa terpinggir selepas kehilangan suami yang terkorban dalam peperangan.
“Saya mula bekerja selepas 10 hari kematian suami. Ramai yang mempersenda ketika itu tetapi saya perlu melakukan sesuatu untuk menampung kehidupan keluarga,” ujarnya.
Dia memperoleh pendapatan sebanyak RM264 sebulan dan wang tersebut digunakan untuk menghantar anak-anaknya ke sekolah. Kemahiran yang ada turut digunakan untuk membina rumah sendiri.
Selain membantu golongan miskin dan memperkasakan kaum wanita, WSE yang dibiayai oleh Kedutaan Norway itu juga memberi fokus kepada kemahiran moden pesertanya.
Ketua Projek, Safiullah Baig berkata, cara kerja kaum lelaki sangat berbeza dengan menggunakan perancangan yang tidak saintifik.
“Namun, kaum wanita di institusi ini mengikuti kaedah saintifik bermula daripada lukisan, rekaan sehingga pembinaan sehingga menghasilkan produk yang terancang dan berkualiti,” kata Baig. – AFP

 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar